Surah al Hujurat
Disebalik Surah:
Dinamakan Surah al Hujurat pada semua kitab hadith dan tafsir, tanpa sebarang pecanggahan, kerna ada disebutkan lafaz "الحجرات", serta diturunkannya pada kisah seruan bani tamim keatas Nabi Muhammad SAW, di balik kamar-kamar Nabi SAW, ataupun pada makna yang lebih jelas sepertimana yang dihuraikan oleh al Imam an Nasafi di dalam madarik at tanzil fi hakaiki at ta'wil, hujurat adalah tempat khalwat.
Surah ini secara ijmak merupakan surah madaniah seperti yang disebutkan oleh al Qurtubi didalam jami' li ahkamil quran dan di sepakati juga oleh ahli-ahli ta'wil secara keseluruhannya bedasarkan dalil penurunannya selepas hijrah.
Adapun surah ini di turunkan selepas surah al mujadilah iaitu sebelum surah at tahrim. Juga merupakan surah yang ke108 menurut urutan penurunan surah-surah dan di turunkan pula pada tahun ke 9 hijrah, manakala bilangan ayatnya 18 ayat.
Al imam Ibnu al arabi didalam kitabnya ahkamul quran berkata, bahawa permasalahan-permasalahan yang dilontarkan didalam surah ini boleh dikategorikan kepada 5 permasalahan:
1- Dinaqalkan dari al Qatadah berkata: "terdapat satu kaum yang selalu mengatakan "kalaulah diturunkan …sudah tentu…" iaitu mereka mengharapkan sesuatu yang sudah lepas.
2- Ibnu Abbas berkata: "Mereka menegah utk berkata dihadapan rasulullah SAW"
3- Mujahid pula berkata: "Jangan kamu memberikan sesuatu fatwa diatas sesuatu perkara sehinggakan Allah menghukumnya dengan melalui mulut Nabi SAW".
4- Hasan berkata: "Diturunkan pada sebuah kaum yang menyembelih penyembelihan sebelum Nabi SAW bersolat, maka Nabi SAW menyuruhnya mengulangi penyembelihan".
5- Az zujaj berkata: "jangan kamu mendahului sesuatu perintah taat sebelum waktunya".
Diantara intipati terpenting secara keseluruhannya, boleh kita simpulkan dengan meneliti kata-kata al Imam Fakhruddin ar Razi didalam kitabnya Mafatihul Ghaib: "surah ini padanya penunjuk bagi orang mukmin kepada kemuliaan akhlak iaitu samada akhlak bersama Allah SWT, rasul atau selain dari keduanya daripada kejadian, samaada mukmin ataupun fasiq (iaitu orang mukmin yg tiada melakukan kerja-kerja taat) samada secara terangan mahupun selindung… kemudian beliau menambah bahawa Allah SWT menyebut 5 kali "wahai orang yang beriman"sebagai menunjukkan setiap sebutan satu bahagian dari bahagian yang lima tersebut"
Tafsir:
Ayat Pertama
Dimulakan dengan "wahai orang-orang yang beriman" sebagai tanda perhatian yang penuh keatas setiap yang akan datang yang ingin disampaikan.
Pada ayat ini Allah SWT mengajar hambanya agar beradab dengannya dan rasulnya sebagai tanda hormat dan memuliakan serta mengelakkan lalai daripada mengingatinya. Disebutkan juga bahawa suruhan keatas manusia agar tidak mendahului sesuatu perkara sebelum diperintah oleh Allah SWT dan rasulNya, dan ditambah pula oleh al Imam as Sa'di bahawa dilarang berkata-kata berlawanan atau bercanggahan dengan al quran dan as sunnah.
Hujjah-hujjah ini adalah bertepatan dengan kaedah feqhiah:
ان المكلف بل يقدم على فعل حتى يعلم حكم الله فيه
Disni juga menyentuh tentang permasalahan pentaklifan, adapun syariah itu sendiri tidak lah disuruh melainkan mengikut kadar kemampuan Mukallaf.
لا تكليف بما لا يطاق
Maka kesimpulannya, ikutilah apa yang disuruh oleh Allah SWT dan rasulnya.
Diriwayatkan oleh al imam al Bukhari didalam menceritakan tentang kisah perutusan Bani Tamim kepada Nabi SAW, maka berkata Abu Bakar : "Ketuailah bagi mereka al ko'ko' bin Ma'bad bin Zaroroh, dan diseru pula oleh Umar bin al khattab: "Ketuailah bagi mereka al Ahra' bin habis, lalu berkata lah Abu bakar: "kau memang suka bercanggah dengan pendapatku", seraya Umar pun berkata: "aku bukan mahu bercanggah dengan kau", maka berlarutan persengketaan tersebut sehingga mereka saling meninggikan suara dihadapan Nabi SAW, maka turunlah ayat 1-2.
Setiap perkara ada tujuan dan rahsia disebaliknya, maka digariskan beberapa pekara yang perlu diambil teliti oleh masyarakat zaman kini terutamanya dalam menyelusuri manhaj ataupun metodologi salafus soleh iaitu merekalah sebaik-baik madrasah yang dididik oleh Nabi SAW:
1- Hendaklah melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.
2- Hendaklah dipahami bahawa tiada sebarang penambahan didalam syariat atau pengurangan selepas sempurnanya Islam, termasuklah perkara-perkara bidaah yang tiada asal usulnya dan tidak pernah dianjurkan oleh Nabi SAW. Jika perbuatan Bidaah itu baik, sudah lama Nabi SAW dan sahabat RadhiaAllahu anhu lakukan.
3- Didalam apa jua perselisihan, dahulukan lah dalil quran dan sunnah dan bukannya mendahulukan pendapat ulama, sekalipun ulama tersebut mempunyai maqam yang tinggi disisi manusia, namun martabat "Nubuwwah" adalah lebih tinggi.
Adapun setiap yang dianjurkan oleh Allah SWT dan rasulNya itu penuh dengan hikmah dan tujuan, diantaranya kebahgian dan kejayaan diakhirat, sekalipun didunia kita membuangnya dan menggadaikannya, namun diakhirat disediakan balasan yang abadi.
Selepas dari ayat tersbut dianjurkan kita agar bertaqwa kepada Allah SWT, seperti kata Ibnu Habib: "Kamu beramal kerana Allah semata-mata mengharapkan rahmat dan ganjarannya, dan kamu meninggalkan maksiat kerna Allah SWT kerna takut akan balasannya".
Berikutnya dikhabarkan akan kebesaran Allah SWT yang maha mendengar setiap perkara dari segenap perkataan hatta semua bunyi daripada mana-mana bahagian dan maha mengetahui pada niat manusia, dinyatakan pula didalam tafsir al jalalain mengetahui pada segenap perbuatan manusia, dan ditambah pula oleh as sa'di iaitu yang zahir mahupun yang batin, yang lepas mahupun yg akan datang…
Maka disimpulkan bahawa ini lah diantara sebab-sebab mengapa Allah SWT menyuruh hambanya supaya tidak mendahului sesuatu kerna Allah SWT itu maha mendengar dan mengetahui.
Ayat ke 2
Kemudian disebutkan pula tentang perihal adab-adab pertuturan dihadapan Nabi SAW, adapun makna ayat ini jelas dan terang, Cuma perlu diambil perhatian pada
"ولا تجهروا له بالقول"
Maka (al jahr) disini adalah pinjaman bagi perkataan menaikkan atau meninggikan, dan bukannya bermaksud senyap dan diam tanpa berkata apa-apa, adapun makna sebenarnya adalah larangan yang membawa makna suruhan tetapi dengan memperlahankan dan merendahkan suara ketika bertutur dengan Nabi SAW sebagai tanda hormat akan martabat kenabian Rasulullah SAW.
Pada situasi kita dizaman kini, boleh dirangkumkan bahawa ayat ini menjadi dalil penharaman meninggikan suara dikubur Rasulullah SAW, dan juga ketika dibacakan hadithhadith tentangnya. Disebutkan oleh Abu hayyan didalam Al bahru Al Muhit: "Sesuatu pengkejian juga buat mereka-mereka yang meninggikan suara dimajlis-majlis para ulama, ini adalah pernghormatan atas kedudukannya tetapi pada tingkatan yang berbeza".
Hal ini membawa erti bahawa pertuturan dengan Nabi SAW, melalui pembacaan hadith- hadithnya atau majlis yang menyebut namanya, adalah tidak sama dengan pertuturan dengan manusia biasa pada kebiasaan.
Berikutnya dinyatakan pada ayat "ان تحبط أعمالكم" merupakan ayat sebab mengapa ditegah untuk mendahulukan sesuatu perkara tnpa keizinan Allah SWT dan rasulnya dan juga ditegah meninggikan suara ketika bertutur dihadapan Nabi SAW. Boleh kita ertikan kepada dua pendapat:
1- Ditakuti terbatal amalan-amalan kamu, tanpa kamu sedari,
2- Agar tidak terbaal amalan-amalan kamu.
Maksud dari tegahan ini adalah kerna beradab didalam pertuturan bersama Rasulullah SAW adalah penyebab mendapat ganjaran dan diterima amalan sepertimana yang dikatakan oleh as Sa'di dan dikatakan pula oleh al Imam Al Alusi didalam Ruhul Ma'ani, bahawa ayat "ان تحبط أعمالكم" adalah ta'lil bagi pertegahan kedua-dua berikut. Juga beliau membuat perumpamaan perihal seorang Syiekh sekiranya salah seorang anak muridnya meninggian suara dihadapannya, sudah pasti syeikh tersebut akan marah, bagaimanakah pula Nabi SAW yang lebih berhak dengan kenabian dan kemulian.
Ayat ke 3
Dimulakan ayat ini dengan huruf ta'kid memberi perhatian kepada isinya, yang merupakan ganjaran serta kemuliaan keatas mereka yang meninggalkan kedua-dua tegahan tadi.
Adapun bagi mereka yang meendahkan suara disisi Nabi SAW, merekalah yang diuji oleh Allah SWT hati-hati mereka dengan ketaqwaan dan bila merujuk kepada wazan افتعال maka ia menunjukkan kesangatan ataupun mubalaghah, adapun pada hakikat, Allah mengetahui mereka itu adalah orang yang bertaqwa namn seperti yang dinyatakan didalam Jalalain: "Allah SWT mahu menzahirkan ketaqwaan mereka itu dengan kesabaran"
Al Imam Al Alusi menambah adapun penzahiran ketaqwaan itu adalah sebab dan tujuan dan kesabaran dengan ujian adalah intipati dari ketaqwaan.
Berikutnya disebutkan "لهم مغفرة وأجر عظيم" adalah khabar kepada إن iaitu disediakan bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar iaitu syuga seperti yang dikatakan oleh Jalalain.
Ayat ke 4
Ayat ini menerangkan tentang contoh peninggian suara dihadapan Rasulullah SAW seperti ayat yang ke 2. Adapun mereka yang memanggil nabi SAW dari belakang hijab kamar-kamar isteri nabi SAW adalah segolongan daripada perutusan bani Tamim yang datang ke madinah pada tahun 9 hijrah dan mereka terdiri daripada lebih 70 orang.
Mereka mendapati Rasulullah SAW berada di kamar-kamar isterinya, maka tanpa kesabaran dan adab, mereka memanggil Nabi SAW: "wahai Muhammad" iaitu keluarlah dalam riwayat yang lain,: "Ya rasulallah", lalu memperkenalkan diri mereka seperti adat perutusan-perutusan arab kepada raja-raja dan orang kenamaan. Boleh disimpulkan kesimpulan cerita ini adalah:
1- Peradaban didalam bertutur dengan nama Muhammad SAW perlu di hormati dengan selawat.
2- Ketidak sabaran mereka menunggu sehingga Nabi SAW keluar, sekiranya mereka itu tahu tujuan dunia dan akhirat adalah lebih baik bagi mereka.
Kerna itu lah Allah SWT berfirman: اكثرهم لا يعقلون iaitu kebanyakan mereka tidak beraqal, kerna aqal adalah tanda penggunaan adab dan lafaz kebanyakan kerana sebahagian daripada perutusan itu tidak memanggil. Maka terkecuali seperti kata Ibnu Asyur, dan ayat ini juga bagi mengeluarkan mereka dari adat buruk jahiliah.
Ayat ke 5
Sekiranya mereka sabar sehingga kamu keluar kepada mereka, itu adalah lebih baik bagi mereka kerna kesabaran adalah lebih baik dari terburu dan ini adalah ayat pengajaran buat mereka yang dahulunya kafir, dan masih terkesan dengan budaya jahiliah.
Dan sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani hinggalah mereka itu iaitu para sahabat menjadi sebaik-baik madrasah danmerekalah generasi yang kita idam-idamkan model didalam medan perntarbiyahan kerohanian. Wallahua'lam.
Rujukan:
1- Tafsir al Quran al Azim oleh Ibnu Kathir
2- Madarik at tanzil fi hakaiku at ta'wil oleh al imam annasafi
3- Al jami' li ahkamil quran oleh al Imam al Qurtubi
4- At Tahrir wa at Tanwir oleh Ibnu Asyur
5- Ahkamul quran oleh Ibnul arabi
6- Mafatihul ghaib oleh Fakhruddin ar Razi
7- Al jalalain oleh jalaluddin as suyuti dan al mahalli
8- Al bahru al muhit oleh abu hayyan
9- Ruhul ma'ani oleh al alusi
10- Taisir al karim ar rahman oleh as sa'di